Sunday 15 January 2017

ISU PEMERDAGANGAN ORANG

Pemerdagangan manusia adalah perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran, dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan hutang).

Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.

Menurut Pemerdagangan Manusia 2011 keluaran kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Malaysia menjadi negara destinasi bagi banyak imigran dari luar negara khususnya dari Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Burma, Kemboja, Bangladesh, Pakistan, dan Vietnam dengan tujuan untuk mencari peluang ekonomi yang lebih besar.

Sesetengah imigran yang dibawa masuk ke Malaysia dipaksa bekerja secara paksa atau bekerja kerana terikat dengan hutang kepada majikan, agen pekerjaan, atau perekrut buruh tidak formal. Ramai pesalah pemerdagangan manusia di Malaysia adalah dari kalangan ahli perniagaan, ia juga didalangi oleh sindiket jenayah terancang yang besar. Sejumlah besar wanita muda direkrut untuk bekerja di restoran dan hotel di Malaysia, yang mana sesetengah mereka datang dengan menggunakan visa “Pegawai Perhubungan Pelanggan,” namun kemudian dipaksa untuk bekerja dalam industri seks komersial di Malaysia.

Kebanyakan syarikat Malaysia yang merekrut tenaga buruh mengambil buruh berlebihan dari Bangladesh, Vietnam dan negara-negara lain. Buru-buruh ini ditahan di gudang-gudang atau lokasi-lokasi lain dan diserahkan kepada majikan yang tidak bertanggungjawab yang memaksa pekerja-pekerja ini menjadi buruh paksa. Ramai pekerja asing di ladang, tapak pembinaan, kilang tekstil, dan mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia menghadapi amalan-amalan berupa pemerdagangan manusia seperti sekatan ke atas pergerakan, penipuan dan fraud dalam pembayaran gaji, perampasan pasport, atau ikatan hutang oleh ejen atau majikan mereka. Perampasan pasport oleh majikan dilakukan secara meluas, dan terdapat laporan bahawa majikan membuka akaun bank bersama sebagai satu bentuk kawalan ke atas pekerja. Pekerja yang melaporkan teraniya memberitahu bahawa majikan mereka mengawal mereka dengan mengancam untuk menyerahkan pasport bekerja kepada pihak berkuasa imigresen di mana majikan akan mendakwa bahawa pekerja itu telah melanggar syarat-syarat kontrak pekerjaan mereka, jika bersalah boleh mengakibatkan pembatalan visa dan seterusnya pengusiran. Sesetengah majikan di Malaysia dilaporkan tidak membayar gaji pembantu rumah asing mereka selama 3 hingga 6 bulan. Ia dibuat atas alasan sebagai bayaran balik kepada agensi pengambilan pekerja dan ikatan hutang lain yang dikenakan ke atas majikan. Ada juga kes dimana majikan secara tidak sah menahan gaji pekerja secara eskrow sehingga tamat kontrak. Ini menjadikan pekerja terus bekerja kerana takut tidak menerima pampasan kewangan jika mereka tidak memenuhi kontrak. Pelarian, terutamanya dari Burma, adalah lebih terdedah kepada pemerdagangan, dan rakyat Malaysia daripada masyarakat luar bandar dan kumpulan peribumi juga turut terdedah. Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) terus melakukan serbuan yang mensasarkan komuniti pendatang haram dan menahan pelarian, pemohon suaka, dan mangsa pemerdagangan manusia bersama-sama mereka yang didakwa pendatang haram.

Namun begitu amalan ini dilaporkan telah berkurangan berbanding tahun 2010. Walaupun tidak menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk meminda Memorandum Persefahaman (MOU), kerajaan Indonesia dan Malaysia belum meminda atau mengganti MOU tahun 2006 mengenai pekerjaan pembantu rumah (amah) Indonesia di Malaysia, yang membenarkan majikan Malaysia untuk merampas dan memegang pasport pembantu rumah.

Menurut pertubuhan-pertubuhan NGO, bilangan pembantu rumah yang bekerja secara sah di Malaysia telah menurun daripada 300,000 kepada 230,000 sepanjang tahun lalu. Pertubuhan-pertubuhan NGO ini menganggarkan bagi setiap pembantu rumah yang bekerja secara sah di Malaysia terdapat satu yang bekerja di negara ini secara haram. 90% daripada pembantu rumah (amah) adalah dari Indonesia. Sebilangan kecil rakyat Malaysia telah dilaporkan diperdagangkan di dalam dan luar negara ke Singapura, China dan Jepun dan mereka dieksploitasi sebagai pekerja seks komersial.

Walaupun Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum untuk membanteras pemerdagangan manusia, ia telah melaksanakan pelbagai usaha dengan bersungguh-sungguh ke arah itu. Sebagai contoh, undang-undang anti-pemerdagangan manusia yang lebih berkesan dan usaha-usaha perlindungan mangsa telah ditambah baik - Malaysia diletakkan pada Tahap 2 Senarai Pemerhatian bagi 2 tahun berturut-turut. Walaupun kerajaan meningkatkan bilangan sabitan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Akta Antipenyeludupan Migran sepanjang tahun laporan dan meneruskan usaha kesedaran awam mengenai pemerdagangan manusia, ia tidak menyiasat dan mendakwa secara berkesan kes-kes pemerdagangan buruh, dan gagal untuk menangani masalah penglibatan kerajaan dalam pemerdagangan dan penjagaan mangsa dan kaunseling yang kurang berkesan oleh pihak berkuasa. Penahanan mangsa pemerdagangan di fasiliti kerajaan juga turut membimbangkan

Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (International Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki. Contohnya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak.

Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api.

Kira-kira 2.7 juta orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun dan jenayah melangkaui sempadan yang berlaku di merata negara di dunia ini diangkat menjadi isu global yang ditangani secara serius di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia.

Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.

Pengutip Dana dan Pakar Advokasi Yayasan Chow Kit, Dr. Hartini Zainudin berkata, kadang kala di kalangan kanak-kanak yang meningkat dewasa mengetahui mereka dieksploitasi untuk memberi khidmat seks namun mereka tidak mengetahui atau menyedari tahap penganiayaan yang diperlakukan atau kesan fizikal dan mental.

Beliau yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak terutama di Chow Kit berkata, banyak faktor yang mendorong kanak-kanak mudah terjerat hingga bersetuju untuk dibawa pergi dari satu tempat ke satu tempat tanpa mengetahui yang mereka akan dieksploitasi.

Ada sebahagian mereka percaya dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, berkahwin dan dapat hidup lebih bahagia. Namun ada juga dijual keluarga sendiri dan diculik oleh sindiket untuk dijual.

“Sekarang memang penjualan bayi yang kita nampak menonjol. Mereka yang tidak punya anak biasanya akan membeli bayi itu tanpa diketahui latar belakang mereka.

“Menjadi satu kebimbangan jika perkara ini tidak dibendung kerana mereka yang mampu boleh membelinya.

“Perkara ini akan berterusan kerana cuba kita lihat berapa ramai yang mengandung anak luar nikah, wanita yang tidak mempunyai dokumen diri, wanita yang tidak diketahui warganegaranya yang menyebabkan mereka tidak tahu di mana harus diletakkan bayi tersebut, jadi jalan paling mudah adalah dengan menjualnya,” katanya.

Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya bayi tersebut tidak mempunyai dokumen, kerana tidak diketahui asal-usul.

Namun yang menjadi fokusnya kini ialah kanak-kanak yang diperdagangkan untuk komersial antaranya dijadikan pelacur, peminta sedekah, mahupun keldai dadah dan aktiviti jenayah lain.




No comments:

Post a Comment