Saturday 14 January 2017

ISU PTPTN BEBANKAN PELAJAR

Isu pendidikan harus menjadi prioriti utama oleh kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai daya intelek yang mampu menterjemahkan aplikasi pengetahuan dalam bentuk yang praktikal bagi mewujudkan sebuah kebudayaan yang beretika serta peningkatan dan pengembangan dalam aspek pembangunan fizikal.Namun, bagi melaburkan modal insan sebagai pelaburan mutlak dalam masyarakat, peruntukan dana melalui subsidi pendidikan mahupun pinjaman merupakan salah satu usaha yang realistik bagi mencapai tujuan pendidikan.Antara isu yang berkaitan dengan pinjaman dalam pendidikan adalah isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Asasnya, PTPTN telah ditubuhkan di bawah akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 berobjektifkan untuk memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.Berdasarkan kepada asas yang diutarakan, seharusnya usaha murni kerajaan bagi menyediakan pinjaman kepada para pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi harus disambut baik, namun, terdapat beberapa perkara yang seharusnya dinilai secara terperinci dalam usaha untuk menjadikan institusi ini benar-benar bersifat membantu, bukan membebankan.

Antara isu yang diutarakan berkenaan dengan PTPTN adalah isu pemberhentian pinjaman kepada pelajar yang tidak melepasi gred 2.0. Suatu perkara yang harus diperhatikan adalah para pelajar yang tidak mencapai gred yang sepatutnya, apabila pinjaman mereka diberhentikan, kesan yang akan diterima adalah, pemberhentian daripada melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan atau menerima tekanan untuk mencari dana sendiri sekiranya ingin terus melanjutkan pelajaran.Secara dasarnya, peluang harus diberikan kepada pelajar ini untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui penyaluran pinjaman PTPTN. Perkara ini seharusnya bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan konsep pendemokrasian pendidikan.Begitu juga, seorang pelajar yang diisytihar muflis, secara automatik, pembiayaan yang diterima akan diberhentikan secara serta merta.

Logiknya, seorang pelajar meminjam kerana tidak berkemampuan dalam usaha untuk meningkatkan tahap kehidupan mereka dari peringkat mentaliti bawah kepada mentaliti yang lebih tinggi seiring dengan perkembangan kemahiran melalui pelajaran. Pelaburan dalam pendidikan inilah yang menjadi modal yang mahal untuk pelaburan masa hadapan.Namun, apabila pelajar yang diisytiharkan muflis diberhentikan terus pinjaman, maka, potensi yang dimiliki oleh pelajar tersebut tidak mampu untuk dikembangkan.Isu ini seharusnya dibezakan dengan pemberian pinjaman oleh institusi kewangan kepada peminjam muflis, atau peluang kedua kepada golongan yang telah disenaraihitamkan daripada institusi kewangan.Penggunaan dana untuk pendidikan lebih bersifat membantu pelajar tersebut melaburkan dirinya sebagai modal, manakala pinjaman daripada institusi kewangan kepada peminjam muflis yang bertujuan untuk perbelanjaan kemewahan adalah bersifat pembaziran dan memerlukan kawalan kewangan.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menambah baik mutu perkhidmatan, termasuk perkhidmatan secara online, dan memberi tindak balas kepada isu yang berlaku selaras dengan teguran yang diberikan oleh semua pihak terhadap badan itu.  Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya akan memastikan bahawa apa jua isu yang dihadapi akan ditangani dengan baik kerana PTPTN mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam mencapai sasaran.
Beliau berkata yang penting penerima pembiayaan PTPTN perlu sentiasa berhubungan dengan pihaknya agar segala isu berbangkit boleh dirunding dan diselesaikan.

Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN diwujudkan bagi tujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman pendidikan ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuh atau sebahagian yuran pengajian dan juga kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Sekali gus, membuka lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.
Kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN adalah terbuka kepada pelajar yang menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan sahaja. Ianya selaras dengan Seksyen 2, Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) iaitu Institusi Pendidikan Tinggi yang ditubuhkan di bawah:

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971;
Akta Institut Teknologi MARA 1976;
Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996;
Politeknik yang ditubuhkan dan disenggarakan oleh Menteri di bawah Akta Pendidikan 1996; dan
Mana-mana institusi pendidikan tinggi lain yang ditubuhkan atau disifatkan telah ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan yang ditentukan oleh Menteri sebagai suatu institusi pendidikan tinggi.

"PTPTN mempunyai matlamat untuk mencapai jumlah kutipan balik serta memastikan bahawa dalam kita mengejar sasaran, pada masa yang sama servis kita kepada pelajar dan rakyat juga mesti diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Jumaat.
Baru-baru ini Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh memberi amaran agar PTPTN tidak menganiaya peminjam dalam usaha mengutip semula hutang pinjaman namun tindakan perlu diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman pembiayaan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata PTPTN menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM5 bilion bagi membantu kira-kira 200,000 pelajar baharu selain pelajar sedia ada di institusi pengajian tinggi. Ditanya mengenai terdapat pihak yang mendakwa mereka telah disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana gagal membayar balik pinjaman PTPTN, beliau berkata CCRIS adalah sistem rujukan kredit Bank Negara dan menjadi amalan biasa kepada mana-mana institusi kewangan di negara ini."Kepada peminjam PTPTN yang mempunyai rekod bayaran yang baik, ia tidak akan ada masalah cuma ia menjadi masalah kepada mereka yang mempunyai rekod bayaran tertunggak," jelasnya.

No comments:

Post a Comment